Dayung Mula - Daratan Beragama atau Ber-Tuhan
Sebelum aku berlayar di lautan ini dan meninggalkan segala silam. Sempat aku gapai ilmu pengetahuan tentang dasar deen yang bagi aku mungkin induk segala ilmu logik yang mampu aku serahkan kepada isteri dan juga anak.
Jadi dengan hafazan yang tidak seberapa, aku kuatkan jiwa untuk meninggalkan keluarga pertama ku dan mulakan pengembaraan dengan serba serbi kurang ini, dengan hanya berbekalkan semangat dan juga sedikit ilmu. Ilmu masak nasi, goreng telur.
Maka di satu perhentian di mana aku bertemu cinta hati iaitu isteri ku, aku nikahi lalu ku bawa mengembara bersama walau keadaan langit mendung cuaca ganas, manakala aku hanya membawa sampan kecil itu pun yang sudah bocor sana sini.
Mujurlah mertua ku sesekali menjengah menghulurkan sedikit makanan, kami masih tidak bermain jauh dari bahtera mereka. Sesekali cuba juga menduga lautan dalam. Hampir karam, maka dilabuhkan bantuan oleh mertuaku yang perihatin.
Maka, hari berganti hari khabar gembira juga datang. Bahwa sang isteri sudah membawa berat. Aku bimbang juga kalau-kalau sampan ini tidak mampu menampung berat lebih dari dua. Aku gagahkan juga. Sang isteri juga menggagahi pelayaran ini menuju Alam Shah dimana aku rasakan disana ada rezeki ku.
Di sana aku ada menyiapkan pondok kecil, yang ditinggalkan teman, penuh bersawang. Sang isteri sikit pun tidak mengambil masa, dicapainya apa yang boleh dicapai tangan untuk dikemaskan dan dihias apa yang ada. Sedaya upayanya mengendong berat sambil berbuat kerja.
Kini pondok ini, 100 kali lebih indah berbanding biasa, sehinggakan aku rasa tidak mahu beralih dari tempat ini. Namun aku perlu logik bahwa pondok ini juga berdiri di tanah bukan milik aku. Aku perlu bersiap sedia dari segi hati dan perasaan bahwa segala yang aku ada ini, bakal akhir.
Sesekali fahaman jahat datang juga menyatakan bahwa Tuhan sengaja merendahkan aku seperti mana manusia lain merendahkan aku dengan pakaian lusuh ku dan sampan tua yang aku bawa ini. Sehinggakan kebanyakkan orang di kepulauan tidak mahu aku kerana penampilan ku ini.
Mereka lebih selesa dengan pak arab yang datang, mereka berhidung mancung, berpipi merah. Lebih mulia penampilannya berbanding aku. Maka kata-kata mereka lebih indah dijamah berbanding ilmu ku. Seakan gagal sungguh aku ini kerana penampilan aku. Ini isu sahih, kerana sang isteri ku juga dihormati dan disukai kerana parasnya rupawan bak gadis timur tengah. Rezeki ku mendapatnya. Sudah jodoh. Maka, lebih mudah Tuhan memberi furqan padaku untuk membezakan antara indah dan buruk.
Dengan rupa paras yang begini, ada sebuah pulau yang menerima aku bukan kerana aku, tetapi kerana mahu ku kepada keagamaan. Mereka itu adalah orang yang sama membekalkan aku ilmu pengetahuan tentang dasar deen. Maka aku bersama mereka, kerana keselesaan yang disajikan. Maka mungkin ini bagiku adalah mahunya Allah.
Ilmunya benar, pelaksanaannya dilakukan. Maka apa lagi yang aku mahu?
Mungkin bukan pada apa yang aku mahu, apa yang mereka mahu. Kebenaran juga menjelaskan lebih terang, apa yang mereka mahu itu belum tentu apa yang Tuhan mahu. Maka bergaduhlah dalaman aku masing-masing menerangkan kebenaran masing-masing. Sehingga aku terlupa menampal bocor pada sampan tunggangan ku.
Hampir sahaja aku lemas bersama isteri. Hampir juga aku meninggalkan anak ku yang di pondok itu bersendirian menangis. Kerana kehampaan itu, maka dengan semangat yang semakin berkurang. Aku tinggalkan pulau Agama itu mencari kembali Tempat Redha Allah.
Aku baru bermula.. dimanakah Dia melayarkan aku dengan sampan, isteri dan anakku ini.. aku juga tidak dapat membacanya.. bukan bakatku membaca nasib. Aku hanya mencuba nasib... Mungkin Bertuhan lebih baik untuk aku dari beragama berdasarkan pengalaman hati, akal dan mata ku ini.
Muhaza
Pelayar.

